Apa itu Kanser Serviks?
Kanser serviks berlaku di bahagian rahim/uterus berbentuk kon yang menyambungkan bahagian atas rahim dengan faraj.Ia terjadi apabila sel-sel abnormal di dalam lapisan serviks mula membiak secara tidak terkawal sebagai tindak balas terhadap jangkitan HPV.
Sel-sel serviks yang abnormal boleh berkumpul untuk membentuk gumpalan/tumor. Tumor benigna/tidak berkanser tidak merebak dan biasanya tidak memudaratkan. Tumor malignan/berkanser pula merebak dari puncanya dan membesar sehingga menjadi kanser yang mengancam nyawa.
Punca-Punca
Hampir kesemua kejadian kanser serviks disebabkan oleh sejenis human papillomavirus (HPV) 6 iaitu virus biasa yang menjangkiti kira-kira separuh manusia pada suatu ketika dalam hidup mereka. Lebih dua pertiga kes kanser serviks disebabkan oleh HPV berisiko tinggi jenis 16 dan 18.
Siapakah Yang Berisiko?
Kanser serviks selalunya berlaku pada wanita dalam usia 40-an dan 50-an, ketika ramai di antara mereka membesarkan anak-anak dan menyumbang pendapatan keluarga.
Diagnosis
Pap Smear atau lumuran Pap adalah suatu ujian saringan ringkas yang biasanya dilakukan di pejabat doktor atau klinik, untuk mengesan sel-sel serviks yang abnormal atau berkanser. Oleh sebab Pap Smear boleh mengesan perubahan serviks sebelum ia berkembang menjadi kanser, ujian ini berjaya mengurangkan kematian akibat kanser serviks dengan banyaknya sejak ia mula digunakan secara meluas pada dekad 1950-an.
Antara tahun 1950 hingga tahun 1970, bilangan kematian akibat kanser serviks di Amerika Syarikat berkurangan sebanyak 70 peratus. Walau bagaimanapun, seperti ujian perubatan yang lain, Pap Smear tidak sempurna. Ada kalanya, ia tidak menemui keabnormalan serviks yang memang wujud. Namun pemeriksaan yang kerap dapat membantu wanita dan penyedia penjagaan kesihatan mereka untuk mengatasi pemeriksaan yang memberikan hasil negatif yang palsu ini.
Gejala-Gejala
Perubahan prakanser dan peringkat awal kanser serviks biasanya tidak menyebabkan rasa sakit mahupun menampakkan gejala-gejala lain. Oleh itu, adalah penting untuk menjalani pemeriksaan Pap Smear dengan kerap bagi mengesan prakanser serviks atau kanser pada peringkat yang boleh dirawat dengan paling berkesan.
Apabila penyakit ini berkembang, wanita mungkin memerhatikan salah satu atau beberapa gejala berikut:
* Pendarahan faraj abnormal
* Pendarahan antara haid
* Pendarahan selepas bersetubuh, menggunakan dus/pancutan atau pemeriksaan pelvis
* Haid yang lebih lama dan lebih banyak daripada selalu
* Pendarahan selepas menopaus/putus haid
* Lelehan yang lebih banyak dari faraj
* Rasa sakit pada pelvis
* Rasa sakit semasa bersetubuh.
Pencegahan
Kanser serviks biasanya boleh dicegah sekiranya wanita melakukan pemeriksaan Pap Smear secara berkala/kerap.
HUMAN PAPILLOMAVIRUS/HPV
Apa itu HPV?
HPV adalah sejenis virus yang biasa. Ada lebih 100 jenis HPV, yang kebanyakannya tidak berapa berbahaya, tidak menampakkan apa-apa gejala dan akan hilang dengan sendirinya. Antara kesemua ini, kira-kira 30 jenis menjangkiti bahagian alat sulit lelaki dan wanita.
Siapakah Yang Dijangkiti?
Kira-kira 630 juta orang dijangkiti HPV di seluruh dunia. Sekurang-kurangnya separuh daripada kalangan lelaki dan wanita yang aktif seks akan mendapat jangkitan HPV alat sulit pada suatu ketika dalam hidup mereka. Kira-kira 80 peratus wanita akan terjangkit menjelang usia 50 tahun.
Jangkitan HPV paling lazim berlaku di kalangan pemuda-pemudi yang berusia antara 18 hingga 28 tahun. Kebanyakan jangkitan HPV tidak menampakkan tanda atau gejala, dan virus ini boleh disebarkan walaupun tiada gejala seperti ketuat atau tanda-tanda lain yang boleh dilihat, yang timbul.
Kesan yang ditinggalkan oleh jangkitan HPV
Kebanyakan jangkitan HPV hilang dengan sendirinya dalam masa 24 bulan pertama melalui gerak balas semula jadi keimunan badan. Jangkitan oleh jenis HPV yang berisiko tinggi iaitu jenis 16, 18, 31 dan 45, jika berlarutan, antara lainnya boleh mengakibatkan kanser serviks dan kanser lain pada kemaluan. HPV 16 dan 18 menyebabkan kira-kira 70 peratus kanser serviks.
Jenis HPV yang berisiko rendah pula boleh menyebabkan terbentuknya ketuat alat kelamin, iaitu ketumbuhan bukan kanser seumpama daging yang muncul pada bahagian alat kelamin dan sekelilingnya. HPV jenis 6 dan 11 adalah punca bagi 90 peratus kes ketuat alat sulit.
Sekali sekala, jangkitan HPV jenis 6 dan 11 oleh si ibu boleh menyebabkan bayi mendapat papilomatosis pernafasan berulang – penyakit dengan lesi-lesi tidak berkanser di dalam saluran pernafasan, menjadikan suara serak, sukar bernafas.
Diagnosis
Bagi wanita yang berusia lebih 30 tahun, suatu ujian molekul yang baru dihasilkan dapat mengenal pasti jangkitan HPV dengan lebih pasti dan berguna khususnya bersama-sama hasil ujian Pap Smear yang mendedahkan keabnormalan kecil yang mungkin disebabkan oleh jangkitan HPV.
Rawatan
Buat masa ini, tiada ubat antivirus yang boleh merawat jangkitan HPV. Namun ada pelbagai rawatan bagi penyakit-penyakit yang berkaitan dengan jangkitan HPV.
Pencegahan
Lakukan hubungan saling monogami jangka panjang dengan pasangan yang tidak terjangkit atau dengan mengehadkan bilangan pasangan seks. Jika betul penggunaannya, kondom boleh mengurangkan risiko jangkitan HPV. Ingatlah, bahawa HPV biasanya tidak menampakkan gejala atau tanda, jadi sukar untuk mengetahui sama ada seseorang itu terjangkit ataupun tidak.
Satu-satunya cara yang 100 peratus berkesan untuk mencegah jangkitan HPV adalah dengan mengelakkan sebarang sentuhan alat sulit secara seksual dengan seseorang yang mempunyai virus ini.
Bertanyalah penyedia penjagaan kesihatan anda tentang ujian pemeriksaan Pap Smear yang kerap serta berbincanglah mengenai hasilnya dengan mereka.
Dipetik dari:http://www.utusan.com.my
0 comments:
Post a Comment