Kecederaan, badan terlalu berat, kurang penjagaan dan terlalu aktif, dikatakan sebahagian punca sakit kaki dan lutut yang menyerang golongan berusia. Jangan ambil mudah jika anda tidak mahu menanggung kesengsaraan seumur hidup, kerana kaki berperanan amat besar dalam pergerakan tubuh.
Kebanyakan golongan tua mengadu sakit lutut yang melampau. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh osteoarthritis iaitu akibat pengurangan cecair pelincir pada sendi. Kaedah menurunkan berat badan bagi golongan obesiti banyak membantu mengurangkan kesakitan lutut selain bantuan tongkat.
Selain itu, terapi fizikal seperti senaman ringan perlu juga dijalankan buat yang mampu dan penghidap yang belum kronik. Rawatan utama pula adalah ubat-ubatan seperti ubat penahan sakit, ubat merangsang pembentukan cecair pelincir dan suntikan asid hyaluronik ke dalam sendi yang terjejas. Pembedahan dan penggantian dengan sendi tiruan adalah alternatif terakhir sekiranya rawatan menggunakan ubat gagal.
CEGAH SEBELUM PARAH
Kebanyakan golongan yang kerap sakit kaki dan lutut adalah golongan yang bekerja seperti promoter, jaga, guru dan seangkatan. Biarpun tugas anda memerlukan anda berdiri, cubalah elak daripada berdiri tegak sepanjang masa. Bengkokkan lutut selang-seli antara dua kaki untuk elak lenguh dan bebanan berat badan dapat diseimbangkan.
Pastikan lutut dan kaki di dalam keadaan yang selesa setiap kali duduk. Usah mencangkung ketika melakukan kerja. Duduk di atas bangku rendah supaya dapat melakukan tugas dengan selesa berbanding menunduk. Bagi anda yang tidur melentang, letak bantal di bawah pelipat kaki untuk elak ketegangan pada otot lutut ketika tidur.
Elak daripada berada dalam posisi yang sama lebih daripada 20 minit. JIka anda mula sakit lutut, jangan terlalu banyak berjalan kerana ia akan memburukkan lagi keadaan. Usah paksa diri dengan melakukan senaman atau aktiviti jika sakit lutut tidak sembuh. Jika anda tidak mampu melakukan kerja berat, elak paksa diri kerana ia mengundang masalah sakit lutut pada masa akan datang.
Jika dari dulu anda menjaga pemakanan dan mempunyai rutin harian yang sempurna, peratus kebarangkalian diserang sakit lutut adalah tipis. Jika kini anda sudah merasa sakit pada lutut, mungkin tip di atas boleh membantu.
Sumber : WebMIDI
0 comments:
Post a Comment