Home » » Bermula bisnes kecil menjadi BESAR - Irfan Khairi

Bermula bisnes kecil menjadi BESAR - Irfan Khairi

Saya telah mula berjinak-jinak dalam perniagaan sejak kecil lagi. Di bangku sekolah, saya selalu melukis dan menjual hasil lukisan saya kepada kawan-kawan. Di ITM, bila tiba musim raya, saya akan menjual kad raya kepada kepada kawan-kawan di kolej. Di peringkat university, saya mula mengenali perniagaan Internet. Kini pula, memiliki beberapa jenis perniagaan yang mempunyai pelanggan antarabangsa.



Ramai yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan hari ini untuk menampungkan kos hidup yang kian meningkat. Kalau perniagaan kecil, maka untung pun kecil. Soalnya, daripada perniagaan yang kecil, bagaimana hendak menjadikannya lebih besar?

Langkah pertama adalah untuk mempunyai matlamat yang lebih besar. Selalunya, ramai yang selesa dengan perniagaan kecil. Kalau tiada matlamat untuk membesarkan perniagaan, pastinya perniagaan akan berada di tahap yang sama sahaja. Dalam perniagaan, perlu mempunyai matlamat jangka panjang.

Kebanyakan perniagaan kecil hanya fikirkan matlamat jangka pendek sahaja, iaitu untuk mendapat keuntungan sementara. Jangan lupa, 9 daripada 10 rezeki datangnya dalam perniagaan. Dan rezeki ini hanya akan tiba bila mempunyai matlamat yang lebih besar.

Selalu saya lihat usahawan yang mendapat untung, tidak menguruskan keuntungan tersebut dengan betul. Kebanyakan wang untung, terus dibelanjakan untuk perkara-perkara yang tidak mengembangkan perniagaan. Sebagai contoh, bila mendapat untung yang baik, terus upgrade kereta, renovate rumah, dan membeli gajet-gajet yang kesemuanya luput nilai.

Sepatutnya, gunakan peluang keuntungan perniagaan untuk kembangkan lagi perniagaan. Nasihat saya adalah, sekiranya perniagaan anda untung RM10, RM9 adalah untuk anda pusingkan dan kembangkan lagi perniagaan anda. RM1 adalah untuk belanja anda. Maka, keuntungan RM10,000 bermakna belanja anda sebagai usahawan adalah RM1,000 sahaja. Selebihnya RM9,000 adalah untuk kembangkan lagi perniagaan. Bukannya RM9,000 untuk beli barang!

Dengan menggunakan strategi ini sahaja, buat masa ini perniagaan saya sendiri tidak pernah mempunyai pinjaman bank, ataupun bantuan kerajaan berbentuk geran atau mendapat tender.

Sudah punyai matalamat, dan pengurusan kewangan perniagaan juga cukup, maka langkah seterusnya adalah untuk belajar dari perniagaan yang besar. Baca dan pelajari kisah kejayaan perniagaan-perniagaan besar yang lain bagaimana kebanyakannya berkembang menjadi perniagaan antarabangsa tetapi bermula sebagai perniagaan kecil.

Perniagaan seperti Body Shop, Subway, McDonalds, Starbucks dan banyak lagi, kesemuanya mempunyai kisah kejayaan yang boleh dipelajari bagaimana pemiliknya berjaya membesarkan perniagaan mereka. Ianya bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dalam masa sebulan dua, atau setahun dua kepada perniagaan anda. Namun, kuncinya adalah ianya tidak mustahil untuk perniagaan kecil anda, menjadi perniagaan yang besar. Percayalah, saya sendiri melaluinya!


-Irfan Khairi-

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.